POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: POLIS LULUS 25 PERMIT CERAMAH, KEMPEN BERGERAK, WALKABOUT

26/06/2024 06:50 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Polis telah meluluskan 25 permit ceramah, kempen bergerak dan tinjauan mesra bagi parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sehingga hari ini. 

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata daripada jumlah itu 15 permit dikeluarkan membabitkan ceramah, kempen bergerak (empat) serta walkabout (enam), dan setakat ini tiada sebarang permohonan permit yang ditolak.

"Sebanyak 14 permit diluluskan untuk blok Pakatan Harapan (PH) manakala selebihnya Perikatan Nasional (PN)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan penganjuran kempen-kempen PRK DUN Sungai Bakap yang berjalan lancar sehingga hari ini, dan setakat ini tiada laporan berkaitan salah laku atau pelanggaran undang-undang pada PRK berkenaan.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan