SUKAN > BERITA

KETIADAAN PENYERANG BERBISA TIDAK RENCAT SERANGAN JDT

23/06/2024 10:28 AM

ISKANDAR PUTERI, 23 Jun (Bernama) -- Ketiadaan penyerang berbisa Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva akibat kecederaan tidak merencatkan jentera serangan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menewaskan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendali JDT Hector Bidoglio berkata barisan anak buahnya menguasai hampir keseluruhan permainan meskipun berdepan pasukan lawan yang dilihat bertumpu di kawasan sendiri terutama pada babak pertama.

"Di babak kedua, kita menggandakan intensiti permainan dengan menyerang di posisi kiri dan kanan sekali gus memberi kelebihan untuk kami menjaringkan dua gol," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Jaringan hatrik penyerang import Heberty Fernandes memastikan JDT mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan.

Bidoglio berkata fokus pasukannya kini terarah kepada perlawanan seterusnya menentang Universiti Malaysia dalam saingan Piala FA pada 28 Jun ini.

Dalam pada itu Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata beberapa kesilapan di bahagian tengah membuatkan pasukannya gagal merencana gerakan berbahaya untuk menyaingi pasukan tuan rumah.

“Kombinasi Mykola (Ahapov) dan Kpah Sherman juga tidak menjadi walaupun rata-rata pemain bekerja keras,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan