KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Melukis animasi kartun dan pemandangan alam semula jadi menjadi pilihan pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk menghilangkan tekanan sekali gus menyerlahkan imaginasi atlet berusia 20 tahun itu.
Nurul Izzah yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini berkata hobi melukis ketika waktu lapang menjadi terapi untuk menenangkan minda selain membantu menghilangkan kekusutan fikiran.
"Saya suka lukis pemandangan cantik dan animasi kartun. Kadang-kala saya tengok aplikasi Pinterest untuk dijadikan rujukan, saya bukan artis 'pro' tetapi memang sejak sekolah suka melukis. Dalam buku sekolah saya juga penuh dengan lukisan saya.
"Saya lepaskan tekanan dengan hobi ini, ayah saya juga boleh melukis dan beliau jadikan ia sebagai hobi, saya rasa minat itu juga datang dari ayah saya," katanya kepada Bernama baru-baru ini sambil menambah sukan berbasikal trek tetap menjadi pilihan sebagai karier utama.
Beliau kini berada di Eropah sebagai persediaan ke Olimpik Paris dan sedang menyesuaikan diri dengan basikal baharu yang akan menjadi jenteranya di temasya sukan empat tahun sekali itu.
"Basikal baharu lebih smooth, agak ringan berbanding basikal sebelum ini, posisi juga berbeza, jadi saya perlu cepat biasakan diri dengan basikal ini.
"Saya juga berharap sepanjang saya di Eropah, saya boleh sedikit sebanyak belajar dengan atlet basikal berkelas dunia di sini," katanya.
Selain Nurul Izzah, kem berbasikal trek turut mempertaruhkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam temasya sukan itu.
Profil:
--------
Nama: Nurul Izzah Izzati Mohd Asri
Umur: 20 tahun
Tarikh Lahir: 11 September 2003
Asal: Sungai Petani, Kedah
Bilangan adik-beradik: 4 (anak kedua)
Julukan: 'The Pocket Rocketwoman'
Hobi: Melukis, membaca novel
Pencapaian tertinggi: Satu pingat emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi 2022, dua pingat emas acara 500m ujian masa dan keirin di ACC 2024 New Delhi, India.
Sukan Asia Hangzhou 2023: Pingat gangsa acara pecut berpasukan.
Sukan Malaysia (Sukma) 2022: Empat pingat emas dalam acara 500m ujian masa pecut individu dan pecut berpasukan serta keirin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial