SUKAN > BERITA

SKUAD PELAYARAN SUKMA TERENGGANU SASAR LAPAN PINGAT EMAS

02/07/2024 04:45 PM

KUALA NERUS, 2 Julai (Bernama) -- Pasukan Pelayaran Terengganu menyasarkan lapan pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak, yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos.

Ketua jurulatihnya Abdul Rani Idris berkata antara acara yang termasuk dalam sasaran itu ialah International 420 Lelaki, International 420 Perempuan, RS One Perempuan, RS One Lelaki, ILCA 4 Lelaki dan ILCA 4 Perempuan.

Beliau berkata untuk temasya kali ini, Terengganu akan menghantar seramai 17 atlet untuk mengambil bahagian dalam 13 acara sukan pelayaran, daripada 14 acara keseluruhan yang dipertandingkan.

“Kita sasarkan untuk enam ke lapan pingat emas pada Sukma kali ini. Ada acara yang kita tidak sasarkan emas, tetapi mungkin boleh beri kejutan kepada pesaing.

“Antaranya acara Optimist Berpasukan, Optimist Lelaki dan Optimist Perempuan. Kita juga menyasarkan untuk menang pingat dalam kesemua 13 acara yang disertai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rani berkata atlet pelayaran Terengganu kali ini dibarisi 50 peratus atlet lama dan 50 muka baharu, yang berusia antara 12 hingga 19 tahun.

Beliau berkata program latihan juga sudah memasuki fasa akhir, yang memberi fokus kepada pemantapan kemahiran dan fokus penjagaan atau penyelenggaraan bot.

Abdul Rani berkata mengikut perancangan, skuad pelayaran Terengganu akan berkampung dua atau tiga minggu lebih awal di Miri, Sarawak untuk menjalani latihan serta menyesuaikan diri dengan keadaan di lokasi pertandingan.

“Pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur kita telah berjaya mengutip tujuh emas, tiga perak dan satu gangsa untuk Terengganu.

“Kali ini kita harap dapat menghadiahkan lebih banyak pingat untuk menjadikan Terengganu juara Sukma 2024,” katanya yang menjangkakan cabaran sengit daripada pasukan tuan rumah, Sabah, Kedah dan Selangor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan