SUKAN > BERITA

19 HOTEL DIJADIKAN PENGINAPAN ATLET PARA SUKMA 2024

18/09/2024 08:40 PM

KUCHING, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 19 buat hotel di sekitar bandar raya ini dikenal pasti sebagai tempat penginapan atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata atlet Para SUKMA akan ditempatkan di penginapan yang berdekatan dengan venue pertandingan mengikut jenis sukan yang disertai bagi memudahkan mereka bergerak ke lokasi pada hari pertandingan.

“Kita tidak menempatkan mereka mengikut kontinjen ataupun negeri, namun ia dibuat mengikut acara sukan yang dipertandingkan dan  tempat tinggal mereka berdekatan dengan venue pertandingan.

“Dengan cara ini kita harap ada interaksi sosial antara atlet para dari 15 kontinjen, ini yang kita mahu...malah bukan sahaja pertandingan 10 jenis sukan, kita juga hendak memastikan dan melihat ada interaksi sosial antara atlet para,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Media Utama Para SUKMA 2024 di  Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan mengumpulkan atlet para dari pelbagai kontinjen di satu tempat penginapan, integrasi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan atlet para akan tercapai, bertepatan dengan tema SUKMA 2024 iaitu ‘Semangat Perpaduan Membara’.

Sebanyak 10 jenis sukan para akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah dan catur membabitkan 328 acara.

Sebagai rekod, Para SUKMA XXI Sarawak 2024 menyaksikan penglibatan seramai 1,290 atlet yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet para wanita.

Sarawak akan diwakili 143 atlet lelaki dan 70 atlet wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan