SUKAN > BERITA

PASUKAN BTV SISTER SQUAD UNGGULI KEJOHANAN BOLA JARING BERNAMA

22/09/2024 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Pasukan BTV Sister Squad muncul juara Kejohanan Bola Jaring anjuran Kelab Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kelab Bola Jaring Bernama hari ini.

Kemenangan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 serta pingat dan sijil manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing menjadi milik pasukan Queen Bees dan Pink Dreamers.

Berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa di sini, kejohanan itu menampilkan enam pasukan disertai 60 petugas daripada pelbagai jabatan di Bernama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata di samping menonjolkan semangat kesukanan, kejohanan itu merupakan platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim sesama petugas, selain menggalakkan gaya hidup yang sihat melalui aktiviti sukan.

“Kelab Bola Jaring (Bernama) ini sebenarnya masih muda (baharu) kerana dilancarkan pada pertengahan tahun dan sejak itu, mereka (ahli) aktif bertanding di peringkat luar," katanya ketika ditemui pada kejohanan itu.

Nur-ul Afida berkata pasukan yang menang hari ini akan mewakili Bernama ke pertandingan Sukan Hawana 2024 pada bulan hadapan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan