WILAYAH - SELATAN > BERITA

UTHM MUNCUL UNIVERSITI AWAM PERTAMA MILIKI RPTO

23/06/2024 06:11 PM

BATU PAHAT, 23 Jun (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti awam pertama memiliki Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) setelah mendapat pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada 20 Jun lepas.

Pengurus Bertanggungjawab RPTO UTHM Prof Madya Dr Mohammad Zulafif Rahim berkata sijil kelulusan RPTO itu telah diserahkan oleh pihak CAAM melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kapten Norazman Mahmud kepada syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata pengiktirafan dan penerimaan sijil kelulusan itu sekali gus membuka lembaran baharu kepada UTHM dalam membekal persijilan kompetensi berkaitan dron yang diiktiraf CAAM, bukan sahaja tertumpu kepada pelajar universiti malah kepada komuniti luar merangkumi industri, agensi kerajaan, badan berkanun serta masyarakat.

“Sebelum ini CAAM juga telah memberikan sokongan kepada UTHM dalam perlesenan beberapa program akademik seperti bidang Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional) dan Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang).

“Penubuhan syarikat terbitan ini sebagai RPTO menunjukkan komitmen universiti dalam memperkukuh bidang tujah serta pada masa sama membangun profesional dalam program pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) berkemahiran tinggi sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohammad Zulafif berkata RPTO berkenaan juga akan berfungsi untuk memainkan peranan penting dalam membekalkan perkhidmatan, khidmat nasihat, pembangunan teknologi dron kepada industri, memberikan latihan dron profesional serta menyediakan perkhidmatan kepada komuniti.

Terdahulu, penyerahan sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Norazman kepada Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan