WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEBUAH KILANG DI PULAU PINANG RANCANG BUKA UNIVERSITI SENDIRI - JAGDEEP

25/06/2024 06:03 PM

BUTTERWORTH, 25 Jun (Bernama) -- Sebuah kilang di negeri ini merancang untuk membuka universiti sendiri iaitu yang pertama di Malaysia yang berperanan mengajar dan memberi latihan kepada pelajar dalam usaha menjadikan mereka juruteknik serta jurutera.

Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo berkata kilang yang beroperasi di Seberang Perai itu dijangka mempunyai universiti sendiri di bangunan kilang berkenaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, namun beliau enggan mendedahkan terperinci berkaitan kilang berkenaan.

"Kita (kerajaan negeri) sentiasa menyokong (perancangan) supaya negeri ini terus maju.

"Lagipun kita mahukan lebih ramai yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi kerana Pulau Pinang sebuah negeri industri semakin berkembang pesat, lebih ramai juruteknik dan jurutera dalam pelbagai bidang sains serta teknologi diperlukan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp), yang turut dihadiri Ketua Eksekutifnya Datuk Shahul Dawood dan Ketua Pegawai Kewangannya Mohamad Farizul Yahaya di Butterworth Arena di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Farizul berkata amalan pembangunan kemahiran dan pembelajaran penting untuk memastikan tenaga kerja serta sektor perniagaan di Malaysia berada pada tahap kompetitif dalam dan luar negara.

Beliau berkata NTW 2024 peringkat wilayah utara berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung dan HRD Corp bersama rakan kongsinya akan menawarkan 791 program latihan percuma di seluruh negeri di utara sepanjang minggu berkenaan termasuk 252 program di Pulau Pinang, Perak (304), Perlis (67) dan Kedah (168).

Rakan kongsi terbabit antaranya Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang, Persatuan Penolong Pegawai Tanah Pulau Pinang, Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd, Perak Entrepreneur and Skills Development Centre (PESDC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman.

NTW 2024 berhasrat melangkah lebih jauh dalam memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dalam perkembangan peribadi dan profesional mereka dengan menyasarkan menawarkan lebih 60,000 kursus percuma di seluruh negara, yang dijalankan melalui pelbagai saluran kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia.

Program latihan itu dijangka mencatat lebih 700,000 jam latihan dan RM200 juta nilai latihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan