WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERDANA MENTERI DAHULUI SENARAI PENERIMA DARJAH KEBESARAN KEDAH

30/06/2024 01:36 PM

ALOR SETAR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai 238 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-82 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Anwar dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (SSSK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja.

Sultan Sallehuddin turut berkenaan menganugerahkan Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (SSPK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Pahlawan kepada Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Tiga penerima iaitu Pegawai Kewangan Kedah Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Bin Abu Hassan pula dianugerahkan Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) yang membawa gelaran Dato’ Wira.

Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Dato’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah Mohd Azam Abd Samat, Ketua Pegawai Eksekutif AFK Group Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid dan Kolonel (B) Datuk Mohd Aros Othman.

Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’ pula dianugerahkan kepada sembilan penerima, antaranya Pegawai Daerah Kota Setar Hakim Ariff Md Noor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Dr Nadzman Mustaffa, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Foad Sakdan.

Turut menerima darjah DSDK ialah Ahli Lembaga Pengarah UUM Mohd Zuhri Abdullah, Pengarah Perubatan Klinik Pakar Mata Abdul Razak Sdn Bhd Dr Abdul Razak K.V Koyakutty, Pengerusi Majlis Guru Pondok (HESA) Kedah Abdullah Lebai Samah, Pengarah Yiked Bina & Tanjung Digital Mohd Azam Saad dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah Ang Saik Cheong.

Sultan Sallehuddin kemudian menganugerahkan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Dato’ kepada empat penerima iaitu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Zambery@Jefry Darus, Asisten Ketua Staf Logistik Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Abdul Aziz Abu Hassan, Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Saipol Anuar Jaafar dan Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh.

Sementara itu 13 penerima dianugerahkan Setia Diraja Kedah (SDK) antaranya Pegawai Daerah Padang Terap Azmin Zainol Abidin, Pegawai Daerah Pokok Sena Mohamad Rizal Mohamad Radzi dan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah Dr Fauziah Abdul Wahab.

Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan bintang-bintang dan pingat-pingat kebesaran iaitu Ahli Mahkota Kedah (AMK) kepada 32 penerima, Ahli Setia Pahlawan (ASP) (11 penerima), Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (BCK) (15 penerima), Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) (52 penerima) dan Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) (20 penerima).

Baginda turut menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK) (35 penerima), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (19 penerima), Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) (20 penerima).

Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan