WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SMC LANCAR FORUM PENDIDIKAN, RADIOTERAPI CSR BERKAITAN RAWATAN KANSER DI SARAWAK

02/07/2024 08:42 AM

KUCHING, 1 Julai (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) radioterapinya dengan penganjuran Forum Kesihatan Awam - Tidak Takut Menentang Kanser: Inovasi Dalam Rawatan Kanser di Hotel Imperial di sini baru-baru ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata inisiatif itu adalah bukti komitmen mereka untuk meningkatkan keberhasilan rawatan dan kualiti hidup pesakit kanser melalui rawatan lanjutan dan penjagaan komprehensif dengan program radioterapi CSR.

“Dengan menawarkan perkhidmatan radioterapi yang berpatutan dan pilihan rawatan lanjutan, kami menyasarkan untuk meringankan beban kewangan pesakit kanser di Sarawak sekali gus memastikan mereka dapat memberi tumpuan kepada pemulihan mereka secara bermaruah dan fikiran yang tenang. 

“Bersama-sama melalui usaha kolaboratif dan sokongan komuniti, kita mampu melakukan perubahan yang bermakna dalam kehidupan mereka yang terjejas akibat kanser dalam komuniti Sarawak dan seterusnya," menurut beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh SMC hari ini.

Dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Dr Seow, program itu juga menyaksikan kerjasama dengan Junior Chamber International Kuching (JCI Kuching), Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari Sunway (TCM) Kuching serta Pusat Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN).

Kenyataan itu juga menyebut berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, Sarawak direkodkan sebagai negeri dengan kadar kanser kelima tertinggi yang mencatatkan 2,300 kes baharu setiap tahun.

“Program Radioterapi CSR adalah inisiatif yang membuktikan dedikasi SMC dalam meningkatkan keberhasilan rawatan pesakit kanser dan kualiti hidup mereka melalui rawatan lanjutan dan penjagaan yang komprehensif,” katanya. 

Sementara itu, pakar perubatan SMC Dr Toh Charng Jeng dalam kenyataan sama menekankan kelebihan pembedahan invasif minimum terhadap rawatan kanser.

Dr Toh, yang juga Perunding Pakar Bedah Saraf, Tulang Belakang dan Pakar Sakit Intervensi, berkata dengan memanfaatkan kemajuan teknologi serta teknik pembedahan invasif yang minimum, pasukan perubatan mampu mencapai sasaran tepat di kawasan terjejas dengan gangguan minimum pada tisu sekeliling.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberhasilan rawatan pesakit tetapi juga kualiti hidup mereka dengan membenarkan pulangan yang lebih cepat kepada aktiviti harian selain mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan pembedahan terbuka secara tradisional,” katanya.

Pakar Onkologi Klinikal Dr Ivan Shew pula berkata rawatan kanser yang inovatif sedang merevolusikan bidang onkologi dengan menyediakan penjagaan yang lebih berkesan dan bersifat peribadi. 

“Teknologi maju seperti terapi bersasar, imunoterapi dan pengimejan tepat membolehkan kami menyesuaikan rawatan mengikut keperluan unik setiap pesakit, meningkatkan kadar survival serta kualiti hidup.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan rawatan canggih ini boleh diakses oleh semua sekali gus meningkatkan penjagaan kanser kepada semua orang,” katanya. 

Menurut kenyataan SMC, seorang daripada sembilan lelaki dan seorang daripada 10 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser sepanjang hayat mereka. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan