WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELABURAN DOMESTIK KUKUH SEPARUH PERTAMA 2024 BUKTI NEGARA TIDAK BERGANTUNG PELABURAN ASING - MIER

19/09/2024 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Pelaburan berjumlah RM160 bilion yang diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2024, merangkumi RM85.4 bilion pelaburan domestik (DI) dan RM74.6 bilion dalam pelaburan asing (FI), menunjukkan bahawa negara tidak terlalu bergantung kepada FI untuk merangsang ekonominya.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Anthony Dass berkata bagi tempoh itu, sektor perkhidmatan menyumbang RM97.2 bilion dan pembuatan RM60.1 bilion, di samping peningkatan dalam nisbah pelaburan domestik berbanding pelaburan asing.

“Jadi ini menjelaskan bahawa kita tidak terlalu bergantung kepada pelaburan asing untuk memacu ekonomi.

“Melangkah ke hadapan, melihat kepada Rangka Kerja Ekonomi Madani, Malaysia berpotensi menerima lebih banyak pengeksport berikutan melihat pergerakan DI ketika ini. 

“Dibandingkan dengan beberapa tahun lepas, saya merasakan FI mengambil peranan utama berbanding DI. Hari ini, nisbahnya telah berubah, dan dengan jumlah kemasukan (pelaburan) yang diluluskan seperti ini, kami melihat kira-kira 80,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pembentangan bertajuk ‘Cautious, Optimism’ pada majlis pertukaran memorandum perjanjian (MOA) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MIER di sini hari ini.

Dass berkata pelan induk negara, seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), akan membawa kepada realisasi pelaburan dalam beberapa tahun, memberikan limpahan positif berterusan kepada ekonomi pada masa hadapan.

Beliau berkata peningkatan pelaburan swasta merupakan satu petunjuk utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi bagi separuh kedua tahun ini, di samping perbelanjaan pengguna yang mampan, pertumbuhan yang mampan, momentum eksport, pembaharuan yang meningkatkan keyakinan dan jangkaan prestasi ringgit akan terus meningkat.

Sementara itu, Dass berpendapat perbelanjaan pengguna, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini.

“Pasaran buruh agak stabil, dengan kadar pengangguran berkurangan dan faedah kerajaan menyokong pelarasan gaji.

“Selain itu, inflasi dilihat semakin mereda walaupun pelbagai pembaharuan termasuk subsidi dilaksanakan dan di MIER, kami menjangkakan inflasi akan kekal pada sekitar tiga peratus. Justeru, kadar dasar semalaman dijangka kekal pada tiga peratus,” katanya.

Dass berkata keyakinan terhadap Malaysia meningkatkan imej negara dengan ketara dengan lebih 70 peratus syarikat menyatakan keyakinan itu menerusi Tinjauan Keyakinan Perniagaan.

MIER juga menjangkakan pasaran ekuiti meningkat pada separuh kedua tahun ini.

Berhubung prestasi ringgit, beliau berkata mata wang tempatan itu dijangka terus mencatat prestasi yang lebih baik selepas terkurang nilai dalam beberapa ketika.

Walaupun ketika ini ringgit berada di bawah nilai, petunjuk seperti Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) dan Kadar Pertukaran Efektif Sebenar (REER) menunjukkan nilai saksamanya berada antara 3.90 hingga 4.20 berbanding dolar AS.

“Pemacu utama ringgit adalah pengecilan perbezaan kadar faedah. Tahun ini, saya menjangkakan penurunan kira-kira 100 mata asas. Jika Rizab Persekutuan AS (Fed) melaksanakan pemotongan ini, kita sepatutnya melihat perbezaan kadar faedah kepada 125-150 mata asas.

“Selain itu, ringgit juga disokong oleh pembaharuan fiskal, aliran masuk pelaburan asing, dan realisasi pelaburan, yang kami anggarkan sekitar 80 peratus (realisasi pelaburan),” katanya.

Ringgit turut menarik perhatian pelabur portfolio, bukan sahaja dalam bon tetapi juga ekuiti, hasil persekitaran politik yang stabil dan stabil.

Menurut Dass, MIER menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia melepasi lima peratus tahun ini, dengan inflasi diunjurkan pada tiga peratus.

Beliau berkata inflasi berkemungkinan turun sedikit pada tahun depan, dipengaruhi rasionalisasi subsidi bahan api RON95.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan