WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA SEPERTI NEGARA ASEAN LAIN TERUS KUKUHKAN PENDIRIAN NEUTRAL, TARIK PELABURAN, PERDAGANGAN KE RANTAU ITU

20/09/2024 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia seperti negara-negara ASEAN lain akan terus mengukuhkan pendirian neutral supaya lebih banyak pelaburan dan perdagangan akan mengalir ke blok itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata prestij Malaysia yang semakin meningkat sebagai ekonomi terkemuka di ASEAN dan Asia, selain kepimpinannya yang diiktiraf perkumpulan itu meletakkan negara dalam kedudukan yang baik untuk mengukuhkan ASEAN di mata dunia.

Tengku Zafrul yang berada di Laos untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN berkata beliau turut mengambil kesempatan berkongsi mengenai persediaan Malaysia untuk menjadi pengerusi blok 10 negara anggota itu pada 2025 dengan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

“Saya yakin kepengerusian Malaysia akan menyerlahkan kepimpinan dan visi negara dalam kita memacu hala tuju agenda ekonomi ASEAN,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Di luar mesyuarat itu, Tengku Zafrul turut bertemu Menteri Dasar Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi United Kingdom (UK) Douglas Alexander.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai pelbagai cara untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia-UK menjelang kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan, yang turut dibincangkan melalui Perundingan Menteri Ekonomi ASEAN-UK Keempat dalam konteks ASEAN.

“Malaysia menyokong usaha untuk mengukuhkan perkongsian ASEAN-UK bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan meningkatkan integrasi serantau.

“United Kingdom merupakan pasaran terbesar Malaysia bagi sektor perkhidmatan di Eropah dengan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM23.28 bilion.

“Jumlah eksport Malaysia ke UK berjumlah RM9.94 bilion, mencakupi 5.1 peratus daripada eksport perkhidmatan negara kita,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Dialog Terbuka Troika bersama Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN dengan Switzerland yang ketiga, mengalu-alukan pemuktamadan dan penerimaan Deklarasi Kerjasama ASEAN-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (JDC ASEAN-EFTA).  

Katanya JDC ASEAN-EFTA berpotensi untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan EFTA dalam pelbagai sektor keutamaan seperti pelaburan, perdagangan dan lain-lain.

Beliau berkata Switzerland merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) kesembilan terbesar ASEAN yang mencecah US$5.2 bilion pada 2023 manakala nilai perdagangan dua hala antara blok tersebut dan Switzerland berjumlah US$28.5 bilion tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan