WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUALITI SUNGAI BERNAM BERADA PADA TAHAP BAIK - LUAS

22/09/2024 03:15 PM

IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Kualiti air di Sungai Bernam, Selangor berada dalam tahap baik dan tiada kesan minyak serta bau abnormal dikesan setakat awal pagi tadi, kata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, LUAS memaklumkan perkara itu susulan berlakunya insiden tumpahan minyak diesel di Hulu Sungai Slim di Perak yang diterima pihaknya malam semalam.

“Pasukan LUAS dan Air Selangor telah melaksanakan pemantauan rapi sepanjang malam di Sungai Slim, Sungai Bernam dan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH) dengan bacaan kualiti air iaitu kadar bau dianalisa setiap jam.

“Pemantauan ini ditamatkan pada pukul 7 pagi tadi setelah didapati kualiti air di Sungai Bernam berada dalam keadaan baik dan tiada kesan minyak serta bau abnormal dikesan,” mengikut hantaran itu hari ini.

Dalam hantaran sama, LUAS memaklumkan pihaknya akan menjalankan pemantauan susulan di lokasi-lokasi berkaitan dan berkomunikasi dengan pihak berkuasa terlibat bagi memastikan tiada potensi dan risiko lain yang boleh menyebabkan permasalahan kepada Sungai Bernam dan sumber air.

Sementara itu, Pengerusi Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak Teh Kok Lim ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menyemak dengan pihak berwajib berhubung insiden tumpahan minyak diesel itu.

Semalam, LUAS telah menerima makluman berhubung insiden tumpahan minyak diesel di hulu Sungai Slim, Perak sekitar pukul 8 malam tadi.

Agensi itu menyatakan kawasan tadahan Sungai Slim adalah sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam di Perak, oleh itu aliran berkenaan juga masuk ke Sungai Bernam, Selangor.

Pasukan LUAS dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membuat semakan di lokasi berkenaan selain mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Slim dan sehingga 1 pagi tadi, pemantauan bau di lokasi mencatatkan bacaan 0 ton dan keadaan adalah terkawal, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan