WILAYAH - UTARA > BERITA

MARITIM SELAMATKAN NELAYAN TEMPATAN JATUH LAUT

22/09/2024 04:06 PM

IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak berjaya menyelamatkan seorang nelayan tempatan yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Sembilan semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata laporan berhubung kejadian yang menimpa mangsa lelaki berusia 22 tahun itu telah dibuat oleh komuniti nelayan setempat kira-kira 9.40 pagi.

“Bertindak daripada aduan itu, Maritim Negeri Perak telah mengatur gerak Bot PSC 24 Marin daripada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Bot FCB 1030 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke lokasi terbabit untuk memberi bantuan kepada mangsa.

“Bot PSC 24 Marin telah membawa mangsa ke Jeti Penumpang Marina Lumut untuk dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu pada ketika ini.

“Komuniti maritim juga disaran untuk memastikan keperluan keselamatan serta bot yang dinaiki berada dalam keadaan baik di samping sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan sebagai langkah awal menyelamatkan diri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan