WILAYAH - UTARA > BERITA

BEKAS EXCO PERAK AZMAN MAHALAN MENINGGAL DUNIA

22/09/2024 06:15 PM

IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Azman Mahalan meninggal dunia pada usia 82 tahun kerana sakit tua, hari ini.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning dari 1986 hingga 2004 itu meninggal dunia pada 11.05 pagi tadi di rumahnya di Jalan Lengkok Pasar, Rapat Setia. 

ADUN Ayer Kuning Ishsam Shahruddin yang mengesahkan berita itu ketika dihubungi berkata kehilangan Allahyarham bukan sekadar dirasai oleh ahli keluarganya, bahkan juga seluruh masyarakat di Ayer Kuning yang telah mendapat manfaat daripada khidmatnya sebelum ini. 

"Jasa Azman bukan hanya kepada perpaduan parti dan ahli, tetapi juga kesejahteraan serta pembangunan masyarakat di kawasan DUN Ayer Kuning itu sendiri," katanya. 

Ishsam berkata baru-baru ini Allahyarham telah dimasukkan ke hospital Pakar KPJ Ipoh kerana kesihatannya yang merosot dan beliau sempat menziarahi Allahyarham. 

"Semasa saya melawat, beliau nampak dalam keadaan baik dan dibenarkan pulang ke rumah selepas empat hari dirawat di hospital berkenaan," katanya. 

Sementara itu, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia selepas asar hari ini. 

Azman pernah menyandang tugas Exco kepada dua Menteri Besar Perak iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri. 

Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah selama 20 tahun. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan