WILAYAH - UTARA > BERITA

STEVEN SIM DIPILIH SEBAGAI PENGERUSI DAP PULAU PINANG

22/09/2024 09:06 PM

GEORGE TOWN, 22 Sept (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 menggantikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menyandang jawatan itu sejak 1999.

Ketua Pengawas Pemilihan Wong Shu Qi ketika membuat pengumuman itu berkata Sim, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, meraih jumlah undi kedua tertinggi iaitu 1,237 dalam pemilihan yang diputuskan pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang hari ini.

 Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, yang meraih undi paling tinggi iaitu 1,247, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri manakala Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, yang mendapat 827 undi, kekal sebagai Setiausaha DAP negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari, yang memperoleh 1,225 undi, dan bekas Penolong Setiausaha Organisasi DAP negeri Datuk Yeoh Soon Hin (1,225 undi) masing-masing dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP negeri.

Jawatankuasa baharu itu turut dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Gooi Zi Sen (1,133 undi), bekas Penolong Setiausaha Organisasi DAP negeri Lay Hock Peng (1,120 undi) dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye (1,074 undi).

Sejumlah 1,452 undi diberikan kepada 31 calon yang bertanding dan hanya 15 dengan undi tertinggi dipilih menduduki jawatankuasa negeri manakala lima lantikan tambahan dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi selepas pemilihan itu.

Antara figura yang gagal mendapat 15 undi tertinggi ialah Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo apabila hanya memperoleh 503 undi.

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri turut kecundang dalam misi merebut 15 tempat tertinggi pada pemilihan tersebut iaitu Wong Hon Wai (Paya Terubong) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Heng Lee Lee (Berapit), Ong Ah Teong (Batu Lanchang) dan Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

Sim, yang juga bekas Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang penggal lepas, berkata jawatankuasa baharu itu akan terus menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Chow dan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jawatankuasa ini merupakan pasukan perpaduan, justeru saya menyeru semua ahli DAP Pulau Pinang merapatkan saf dan berdiri sebagai sebuah pasukan yang kuat demi kepentingan rakyat serta parti kita.

“Jawatankuasa baharu ini tekad untuk meneruskan perjuangan parti yang didukung oleh pemimpin sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas itu.

Beliau juga berkata jawatankuasa baharu akan memulakan kerja serta-merta di peringkat akar umbi bagi mendengar suara rakyat dan dalam usaha menarik lebih ramai anak muda menyertai parti itu.

 

Berikut senarai Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 2024-2027:

 

Pengerusi: Steven Sim Chee Keong 

Timbalan Pengerusi: Ramkarpal Singh

Naib Pengerusi: Zairil Khir Johari dan Datuk Yeoh Soon Hin 

Setiausaha: Lim Hui Ying

Penolong Setiausaha: H'ng Mooi Lye

Bendahari: Teh Lai Heng 

Penolong Bendahari: Lay Hock Peng

Setiausaha Organisasi: Phee Boon Chee

Penolong Setiausaha Organisasi: Lee Wee Seang (dilantik) dan Lim Siew Khim 

Setiausaha Publisiti: Woo Sze Zeng

Penolong Setiausaha Publisiti: Soon Lip Chee

Pengarah Pendidikan Politik: Gooi Zi Sen

Jawatankuasa Negeri:

  1. RSN Rayer
  1. Phee Syn Tze
  1. Ooi Yong Woi (dilantik)
  1. Teh Chuan Yien
  1. Datuk Seri S.Sundarajoo (dilantik)
  2. Foo Yu Keong (dilantik)

 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan