WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEPUTUSAN GANTUNG, BATAL LESEN PERNIAGAAN GISBH IKUT WARTA MUZAKARAH MKI - AHMAD SAMSURI

22/09/2024 06:06 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan memutuskan sama ada untuk menggantung atau membatalkan lesen perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang difahamkan berlangsung di Terengganu dalam masa terdekat.

“Sekarang masih dalam tempoh pendakwaan untuk kes-kes tertentu, jadi kita kena teliti dengan lebih lanjut dan pihak berkuasa tempatan pun akan ambil tindakan mengikut pewartaan oleh muzakarah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Mahasiswa Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) Kebangsaan di sini hari ini. 

Ditanya situasi semasa di Terengganu membabitkan GISBH, Ahmad Samsuri berkata keadaan masih terkawal dan hanya kesan minimum yang wujud.

“Walaupun belum tutup sepenuhnya tetapi kita dapat lihat sudah tiada orang pergi membeli atau menikmati makanan di premis-premis mereka. Kita biarkan di situ dulu hingga ada keputusan rasmi.

“Kami tiada maklumat bilangan pengikut atau premis GISBH di Terengganu. Kami serahkan siasatan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia sebab dimaklumkan siasatan telah lama dijalankan sebelum ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan