WILAYAH - SELATAN > BERITA

PERUNTUKAN HAMPIR RM1 JUTA TAHUN INI UNTUK ATASI BANJIR DI KLUANG

23/09/2024 07:57 PM

KLUANG, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM910,840 tahun ini dalam usaha mengatasi masalah banjir di daerah ini melibatkan kerja-kerja di Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata peruntukan itu antara lain untuk kerja naik taraf benteng sungai, memulihkan saliran dan pemuliharaan tebing, dengan semuanya telah siap dilaksanakan.

"Projek di Kampung Palembang Baru yang melibatkan kos RM175,000 siap pada 21 Ogos lepas manakala dua projek di Kampung Bentong membabitkan Sungai Melantai dengan peruntukan RM735,840 masing-masing siap pada 19 Ogos dan 9 Sept lepas," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pengoperasian laluan baharu Bas Muafakat Johor di Terminal Bas Kluang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

Sehubungan itu, Mohamad Fazli menyifatkan dakwaan pembangkang yang mempersoalkan penyaluran peruntukan untuk kerja mendalamkan sungai bagi mengatasi masalah banjir di Kluang adalah tidak benar, dengan pihak berkenaan boleh ke lokasi terlibat untuk melihat sendiri pelaksanaannya. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan untuk pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) besar bernilai antara RM800 juta hingga RM1 billion bagi mengatasi banjir di dua sungai terbabit menerusi Rancangan Boleh Pinda Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)

"Kita harap (permohonan ini) diluluskan, tetapi dalam tempoh masa hampir tiga tahun ini di bawah pentadbiran kerajaan sekarang kita telah mengeluarkan antara RM2 juta hingga RM3 juta untuk memastikan tebing sungai tidak runtuh dan air tidak melimpah," katanya.

Mengulas mengenai operasi laluan bas itu, Mohamad Fazli berkata inisiatif di bawah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) itu membolehkan penduduk di Paloh di sini mendapatkan perkhidmatan kesihatan di bandar Kluang selain untuk kemudahan penduduk setempat.

"Perkhidmatan bas percuma ini akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Okt ini dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM106,188 pada tahun ini bagi menampung laluan sepanjang 54.4 kilometer dengan empat perjalanan sehari," katanya.

Secara keseluruhan empat laluan BMJ telah beroperasi di kawasan Majlis Perbandaran Kluang meliputi laluan KL001 (Bandar Kluang), KL002 (Terminal Kluang-Hospital Besar), KL003 (Terminal Kluang-Kahang) dan KL004 (Paloh-Kluang).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan