WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JCIM SDA HUBUNGKAN PELBAGAI ENTITI, MENYUMBANG KEPADA EKOSISTEM PERSEKITARAN MALAYSIA

23/09/2024 11:06 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Junior Chamber International Malaysia Sustainable Development Award (JCIM SDA) telah menghimpunkan entiti kerajaan, perbadanan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan komuniti yang memberikan sumbangan besar kepada ekosistem persekitaran, kebajikan masyarakat dan tadbir urus Malaysia, sejak penubuhannya lapan tahun lepas.

JCIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya berbangga menganjurkan JCIM SDA ke-8 tahun ini, sebuah inisiatif yang merangkumi komitmen untuk memupuk perkongsian awam-swasta yang berkesan dan meraikan organisasi yang berdedikasi bagi memajukan kemampanan dan menyokong 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Sejak dilancarkan pada 2017, JCIM SDA menjadi anugerah perintis Malaysia bagi kecemerlangan dalam pembangunan mampan dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Tahun ini, kami mengiktiraf 30 finalis terbaik, bersama-sama dengan pemenang dan penerima Best of the Best Awards merangkumi kategori sektor swasta, awam dan NGO," menurut kenyataan itu.

Pada majlis Makan Malam Gala JCIM SDA yang diadakan di Setia Alam, Selangor semalam, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib menggalakkan peserta untuk berkongsi pandangan bagi membentuk Rancangan Malaysia Ke-13, yang akan memberi panduan kepada negara ke arah 2030.

Hanifah Hajar berkata usaha sedemikian sejajar dengan inisiatif holistik Malaysia MADANI, dan pendekatan seluruh negara penting untuk merealisasikan agenda kemampanan negara dan menekankan betapa pentingnya kerjasama dalam kalangan semua pihak berkepentingan untuk mencapai matlamatnya.

"Pertumbuhan sahaja tidak mencukupi. Mencapai kemampanan memerlukan pembaharuan struktur transformasi yang merupakan nadi kepada rangka kerja ekonomi MADANI dan direka bentuk untuk meningkatkan kecekapan, menggalakkan daya saing dan mempromosikan keterangkuman.

"JCIM memainkan peranan penting dalam visi ini dengan mengiktiraf perniagaan yang meneraju menerusi inovasi, kemampanan dan tadbir urus beretika," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit ESG Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Edison Choon berkata penglibatan MATRADE menggambarkan sinergi yang semakin meningkat antara perniagaan dengan kerajaan dalam menangani cabaran kemampanan dengan penyelesaian inovatif.

"Program JCIM SDA selaras dengan objektif ini, membantu perniagaan tempatan dalam mengenal pasti peluang eksport menerusi kerjasama dengan MATRADE, agensi penggalakan perdagangan, dan kami bertekad untuk memupuk perkongsian yang mempromosikan kemampanan dan penggunaan ESG, penting untuk pertumbuhan ekonomi," katanya.

Pada majlis itu, 17 anugerah berdasarkan UNSDG disampaikan antaranya kepada Prudential Assurance Malaysia Berhad bagi projek Financial Resilience For All Malaysians dalam kategori No Poverty manakala Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia memenangi kategori Good Health and Well-Being melalui projek Bringing Education and Understanding To You and Health (Beauty & Health).

Bagi kategori Quality Education, penerima ialah Pusat Bimbingan Alternatif Grace (projek Give Every Child a Life Chance) dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD)-NASA Sarawak (projek NASA Space Apps Sarawak 2023).

Sementara itu, anugerah bagi kategori Decent Work and Economic Growth disampaikan kepada Kelab Kiwanis Muar, Johor (projek My Grandpa Cafe) sementara kategori Industry, Innovation, and Infrastructure menjadi milik Selangor Human Resource Development Centre bagi projek Malaysian Smart Factory 4.0-Developing a Sustainable Digital Transformation for Industries and Communities in Malaysia. 

Timuran Kembangan Sdn Bhd menerima anugerah melalui projek Responsible ReSourceLution: Innovating for a Green Tomorrow dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan dengan projek iBuyBack, kedua-duanya dalam kategori Responsible Consumption and Production.

Berkongsi kategori sama ialah projek Recycle Material Usage Program in Manufacturing Process oleh Mega Fortris Berhad dan projek Advancing Sustainability Through Innovation and Partnerships for a Better World daripada KIAN Group of Companies.

JCI Johor Bahru Entrepreneur (projek Waste To Green 4.0) memenangi kategori Climate Action manakala JCI Sunway Damansara (projek One Ocean One World Flagship Project @ Aboriginal (Orang Asli) Beach Cleaning Initiatives 1.0 & 2.0) mengungguli kategori Life Below Water

Rhino Group Sdn Bhd (projek Rhino 300) menerima anugerah dalam kategori Life On Land, Hextar Global Berhad (projek Buddy Not Bully) menjuarai kategori Peace, Justice, and Strong Institutions dan kategori Partnerships for the Goals pula jatuh kepada RAM Holdings Berhad (projek Sustainability, ESG and Carbon Solutions) manakala anugerah Best of the Best dimenangi Kelab Kiwanis Muar, Johor dan KIAN Group of Companies.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan