DUNIA > BERITA

DRAF RESOLUSI CHINA TENTANG PENINGKATAN KERJASAMA ANTARABANGSA DALAM PEMBINAAN KAPASITI AI DILULUSKAN

02/07/2024 03:26 PM

NEW YORK, 2 Julai (Bernama-CMG) -- Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78 pada Isnin sebulat suara meluluskan draf resolusi yang dicadangkan oleh China mengenai peningkatan kerjasama antarabangsa dalam pembinaan kapasiti kecerdasan buatan (AI).

Resolusi yang ditandatangani bersama oleh lebih 140 negara itu menekankan pembangunan AI perlu berpaksikan kepada umat sejagat demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Kerjasama antarabangsa dan tindakan praktikal adalah digalakkan dalam membantu pelbagai negara terutamanya negara membangun dalam memperkasa kapasiti AI malah menjadi semakin relevan dan lantang dalam tadbir urus AI global.

Selain itu,  persekitaran perniagaan yang terbuka, adil dan tanpa diskriminasi adalah digalakkan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disokong menerajui kerjasama antarabangsa untuk mencapai pembangunan yang inklusif, sama untung dan mampan dalam bidang AI, sekali gus menyumbang kepada pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030.

Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong semasa memperkenalkan draf resolusi pada sesi pleno UNGA sebelum ini pernah menyatakan bahawa China berharap mengambil kesempatan ini bersinergi dengan anggota PBB lain mempergiatkan pelaksanaan resolusi terbabit pada masa akan datang, bertindak pantas membantu negara-negara membangun meningkatkan pembinaan kapasiti AI yang dilihat boleh menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Pelbagai negara anggota PBB terutamanya negara-negara membangun sangat mengalu-alukan resolusi yang baru diluluskan itu dan amat menghargai peranan China sebagai peneraju dalam menggalakkan kerjasama AI dan tadbir urus global serta mempercepatkan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Para peserta bersepakat menganggap bahawa resolusi yang memfokuskan pembinaan kapasiti AI dan mengandungi siri langkah yang praktikal itu, adalah signifikan bagi mengurangkan jurang perbezaan dalam bidang pendigitalan di persada dunia dan mendorong pelbagai negara berkongsi hasil pembangunan AI.

-- BERNAMA-CMG


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan