DUNIA > BERITA

SINGAPURA SEDIA IKTIRAF NEGARA PALESTIN PADA MASA SESUAI - MENTERI LUAR

02/07/2024 09:06 PM

SINGAPURA, 2 Julai (Bernama) -- Singapura bersedia secara prinsip untuk mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata pertimbangan utama Singapura ialah langkah sedemikian harus membantu kemajuan ke arah keamanan dan merundingkan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

"Khususnya, perlu ada kerajaan Palestin yang berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak keganasan secara tegas.

“Kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil langkah ke arah keamanan yang berkekalan dan menamatkan penderitaan yang telah berlangsung terlalu lama,” kata menteri itu kepada Parlimen, Selasa.

Pada 10 Mei, Singapura mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan sokongan terhadap keanggotaan Palestin di PBB.

Balakrishnan berkata Singapura membuat undian itu selepas pertimbangan teliti dengan harapan Palestin dan Israel menyambung semula rundingan terus ke arah penyelesaian dua negara ketika prospek semakin suram.

Sementara itu, Balakrishnan berkata tahap sokongan Singapura kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak tertakluk sama ada terdapat pengiktirafan rasmi terhadap negara itu.

“Singapura akan terus berhubung dengan PA, terus melaksanakan pakej bantuan teknikal bernilai S$10 juta untuk membantu PA membina kapasiti dan bersedia sedia bagi kenegaraan,” katanya.

Setakat ini, Singapura telah melatih lebih daripada 750 pegawai Palestin dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, pengurusan ekonomi dan perancangan bandar.

Beliau berkata republik itu juga menyediakan biasiswa untuk pegawai Palestin melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti Singapura. Setakat ini, terdapat tiga penerima biasiswa berkenaan pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan