DUNIA > BERITA

ADB LULUS PINJAMAN US$500 JUTA BAGI PERCEPAT PERALIHAN TENAGA INDONESIA

20/09/2024 03:56 PM

JAKARTA, 20 Sept (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) meluluskan pinjaman berjumlah US$500 juta bagi membantu Indonesia mempercepatkan peralihan tenaganya.

Program Peralihan Tenaga Mampu Milik dan Lestari ini akan menyokong pelaksanaan pelbagai langkah dasar untuk membantu negara mencapai sumbangan nasional yang dipertingkatkan serta matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Pengarah ADB untuk Indonesia, Jiro Tominaga dalam satu kenyataan berkata Indonesia kini berada pada persimpangan kritikal dalam usaha peralihan tenaganya.

Beliau berkata bahawa program pinjaman ini direka untuk menyokong pembangunan dasar kolaboratif, menangani cabaran kompleks dalam sektor itu serta memudahkan peralihan kepada penggunaan tenaga lestari dan bersih.

Meskipun perkembangan pesat dalam kapasiti penjanaan elektrik berjaya mengurangkan banyak masalah kekurangan bekalan tenaga, sistem tenaga negara masih bergantung kepada bahan api fosil seperti arang batu, gas dan diesel, menurut ADB.

Program ini bertujuan mewujudkan rangka kerja dasar dan kawal selia yang kukuh bagi peralihan kepada tenaga bersih, memperkukuh tadbir urus sektor, memastikan kemampanan kewangan, serta memastikan peralihan yang adil dan inklusif.

Kerjasama ini melibatkan ADB dan rakan kongsi pembiayaan bersama, Agence Française de Développement serta Kerjasama Pembangunan Jerman melalui KfW, bagi menyokong peralihan tenaga di Indonesia. (US$1 = RM4.21) 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan