PROLINTAS JAMIN BERI KERJASAMA KEPADA PIHAK BERKUASA

26/06/2024 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan membabitkan kes pembinaan susulan penahanan warga kerja syarikat itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami komited dan bersedia untuk bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

“PROLINTAS terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” menurut syarikat konsesi lebuh raya itu dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM mengesahkan lapan individu termasuk tiga pengurusan tertinggi PROLINTAS direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Dalam kenyataan berasingan, Prolintas Managers Sdn Bhd (PMSB), Pengurus Amanah untuk Prolintas Infra Business Trust (PIBT), mengumumkan bahawa ahli lembaga pengarah terbabit yang direman SPRM telah diberikan cuti rehat berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan akan meneruskan operasi seperti biasa dengan pasukan pengurusan eksekutif sementara, diketuai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas PMSB Datuk Ikmal Hijaz Hashim, yang berpengalaman luas dalam industri lebuh raya.

Kenyataan itu turut menyebut gabungan kepakaran pasukan pengurusan eksekutif akan memastikan pengurusan Amanah diteruskan dengan lancar. 

"Lembaga Pengarah PMSB berpandangan bahawa tidak akan ada kesan kewangan dan operasi ke atas operasi PIBT.

"Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman lanjut apabila terdapat sebarang perkembangan berkaitan," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan