PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TINGGI PADA TENGAH HARI

19/09/2024 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini sejajar dengan pasaran serantau berikutan sentimen belian yang lebih baik selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penurunan kadar faedah sebanyak setengah mata peratusan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.21 mata kepada 1,662.80  daripada 1,660.59 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.68 mata kepada 1,663.27 dan bergerak antara 1,657.13 dan 1,663.27 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 711 berbanding 334, dengan 399 kaunter tidak berubah, 1,061 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.36 bilion unit bernilai RM1.71 bilion. 

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran Asia berada pada paras tinggi berikutan impak daripada penurunan kadar faedah oleh Fed menunjukkan bahawa ia akan menjadi lebih mudah bagi bank-bank pusat di seluruh rantau ini untuk menurunkan kadar faedah, yang berpotensi memacu pertumbuhan dan meningkatkan penilaian pasaran ekuiti.

“Dengan Fed mengambil risiko, bank-bank pusat yang lebih berhati-hati ini mungkin akhirnya akan mengambil langkah tersebut. Keraguan, sudah tentu, disebabkan risiko penyusutan nilai mata wang.

“Menurunkan kadar faedah sebelum Fed dapat menurunkan nilai mata wang negara, menjadikan import lebih mahal dan berpotensi menyebabkan inflasi.

“Bagaimanapun, komitmen Fed terhadap apa yang dilihat merupakan kitaran pelonggaran dasar monetari yang berpanjangan yang akan mengurangkan kebimbangan ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng percaya pembeli akan kembali susulan penurunan kadar faedah yang besar oleh Fed, merupakan perkembangan positif kepada mata wang serantau.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,660 hingga 1,670 hari ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi IHH Healthcare, Petronas Chemicals dan CelcomDigi, masing-masing meningkat lima sen kepada RM7.16, RM5.57 dan RM3.80 manakala Press Metal naik lapan sen kepada RM4.93.

Sementara itu, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM21.20, Maybank merosot empat sen kepada RM10.64, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.69, CIMB turun lima sen kepada RM8.28 dan TNB susut 10 sen kepada RM14.64. 

Bagi kaunter aktif, Solar District Cooling Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 13.5 sen kepada 51.5 sen, Globetronics menambah lapan sen kepada 61.5 sen, Genetec naik 14 sen kepada 96 sen dan Cape EMS meningkat satu sen kepada 37.5 sen.

Pada masa yang sama, Luster Industries dan Alpha IVF, masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan 35.5 sen manakala MyEG merosot setengah sen kepada 95 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 59.66 mata kepada 12,463.64, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 92.52 mata kepada 12,351.16, Indeks FBMT 100 menambah 49.01 mata kepada 12,164.81, Indeks FBM 70 melonjak 193.65 mata kepada 17,761.61 dan Indeks FBM ACE naik 63.25 mata kepada 5,150.06.   

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 40.88 mata kepada 19,619.21 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 2.40 mata kepada 178.48, Indeks Tenaga meningkat 5.30 mata kepada 867.57 dan Indeks Perladangan menambah 6.63 mata kepada 7,170.83.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan