PASARAN > BERITA

KADAR FAEDAH AS TURUN, BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SEIRING PASARAN SERANTAU

19/09/2024 06:35 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Khamis dengan lebih tinggi, didorong minat belian ketara selepas pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengurangkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas yang memacu sentimen pasaran serantau.

Sewaktu pasaran ditutup, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.06 mata atau 0.3 peratus kepada 1,665.65.

Pada awal urus niaga, indeks itu menokok 2.68 mata kepada 1,663.27 dan bergerak dalam julat 1,657.13 hingga 1,665.84 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 898 berbanding 322 manakala 392 kaunter tidak berubah, 893 tidak didagangkan dan 10 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.99 bilion unit bernilai RM4.08 bilion daripada 2.30 bilion unit bernilai RM2.75 bilion pada Rabu. 

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengakhiri sesi dagangan hari ini dengan peningkatan yang sederhana, dipacu oleh keuntungan sektor utiliti dan perindustrian.

Bagaimanapun, indeks teknologi dan pembinaan menunjukkan momentum kenaikan memberangsangkan dengan masing-masing mencatat peningkatan lebih 2.5 peratus dan prestasi itu turut dijejaki saham bermodal sederhana dan kecil.

"Meskipun mungkin terlalu awal untuk mengaitkan keuntungan ini susulan pengurangan kadar faedah oleh Fed, tidak dinafikan langkah pelarasan itu telah memacu sentimen pasaran secara keseluruhannya, merangsang keyakinan pelabur dan menaikkan harga saham yang merentasi pelbagai sektor," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menyifatkan pengurangan 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan itu yang juga pertama kali dalam tempoh lebih empat tahun, sememangnya dijangkakan oleh peniaga.

"Di peringkat domestik, kami percaya sentimen di pasaran kekal positif berikutan berita baik ini dan berharap perkembangan ini akan menarik kehadiran lebih ramai peserta ke pasaran, sekali gus meningkatkan jumlah dagangan pasaran.

“Berikutan itu, kami menjangkakan FBM KLCI dalam julat 1,660-1,680 mata menjelang akhir minggu ini," katanya.

Di peringkat pasaran serantau menyaksikan Nikkei 225 Jepun meningkat 2.13 peratus kepada 37,155.33, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 2.0 peratus kepada 18,013.16, Indeks Straits Times Singapura menokok 1.13 peratus kepada 3,633.18 dan Indeks Komposit Jakarta Indonesia meraih 0.97 peratus kepada 7,905.39. 

Bagi saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, IHH Healthcare untung empat sen kepada RM7.15, Petronas Chemicals melonjak 12 sen kepada RM5.64, CelcomDigi meraih lima sen kepada RM3.80 namun Maybank dan CIMB masing-masing rugi empat sen kepada RM10.64 dan RM8.29 manakala Public Bank turun dua sen kepada RM4.69.

Solar District Cooling yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, mendahului kalangan kaunter paling aktif dengan melonjak 12.5 sen atau 32.89 peratus kepada 50.5 sen, Globetronics naik tujuh sen kepada 60.5 sen, Genetec meraih lima sen pada 23.5 sen, MyEG tidak berubah pada 95.5 sen manakala Top Glove susut tiga sen kepada RM1.04. 

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 84.73 mata kepada 12,488.71, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 120.44 mata kepada 12,379.08 dan Indeks FBMT 100 naik 72.01 mata kepada 12,187.81.  

Indeks FBM 70 melonjak 235.30 mata kepada 17,803.26 dan Indeks FBM ACE meningkat 92.57 mata kepada 5,179.38.    

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 44.61 mata kepada 19,615.48, Indeks Tenaga menambah 12.83 mata kepada 875.10, Indeks Perladangan meraih 22.93 mata kepada 7,187.13 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.35 mata kepada 179.43.   

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan naik kepada 2.16 bilion unit bernilai RM3.74 bilion daripada 1.59 bilion unit bernilai RM2.62 bilion pada Rabu.   

Selain itu, jumlah waran meningkat ketara kepada 1.28 bilion unit bernilai RM145.78 juta daripada 421.13 juta unit bernilai RM39.83 juta, semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 554.21 juta unit bernilai RM196.59 juta daripada 286.10 juta unit bernilai RM91.29 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 332.77 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (367.51 juta), pembinaan (194.69 juta), teknologi (402.60 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (145.50 juta), hartanah (247.29 juta), perladangan (15.52 juta), REIT (18.93 juta), dana tertutup (115.51), tenaga (115.51 juta), penjagaan kesihatan (129.26 juta), telekomunikasi dan media (47.28 juta), pengangkutan dan logistik (35.59 juta), utiliti (102.72 juta) dan amanah perniagaan (220,800).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan