POLITIK > BERITA

SOLIDARITI KERAJAAN PERPADUAN TETAP KUKUH, TIDAK GOYAH DENGAN CUBAAN PEMBANGKANG

22/09/2024 05:53 PM

KLUANG, 22 Sept (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan tetap kukuh walaupun pembangkang terus mencari jalan bagi menggoyahkan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Hal ini menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga, termasuk jika pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada persidangan Oktober ini. 

"Kerajaan Perpaduan dengan adanya 153 sokongan Ahli Parlimen yang melebihi dua pertiga yakin solidariti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini akan terus kukuh dan tidak goyah walau apa pun yang cuba dilakukan pembangkang," katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Merealisasikan Rumah Mampu Milik Kluang di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan telah mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bagi memastikan gesaan untuk beliau melepaskan jawatan dilakukan mengikut undang-undang.

Pada perkembangan lain, Onn Hafiz berkata penganjuran program di daerah ini dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ialah program untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik. 

"Ia bukan program politik, tetapi program untuk rakyat. Jadi, orang PN (Perikatan Nasional), BN, Pakatan Harapan (PH) atau sesiapa sahaja boleh pergi ke program berkenaan," katanya. 

Onn Hafiz berkata demikian bagi mengulas tindakan PN yang membuat laporan polis semalam, mendakwa penganjuran program terbabit sebagai kesalahan pada pilihan raya. 

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon PN Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan