SUKAN > BERITA

JUN HOONG SEDIA JADI JURULATIH

23/06/2024 05:01 PM

TANJUNG MALIM, 23 Jun (Bernama) -- Bekas ratu terjun negara Cheong Jun Hoong tidak menolak kemungkinan untuk kembali dalam arena sukan terjun negara sebagai jurulatih sekiranya diberikan peluang suatu hari nanti.

Namun, bekas juara dunia berusia 34 tahun itu berkata buat masa ini, beliau belum mempertimbangkan perkara itu secara serius kerana fokusnya adalah untuk menamatkan pengajian dalam bidang komunikasi di institusi pengajian tinggi tempatan.

“Kalau nak kata tak rindu itu tipulah, cuma untuk sementara ini saya memang tak fikir untuk jadi jurulatih namun jika selepas ini mungkin boleh jika ada ruang dan peluang. 

“Saya sentiasa terbuka dan sedia membantu negara yang banyak membantu hingga saya berjaya menjadi juara dunia, tetapi buat masa ini saya nak buat banyak perkara yang saya tidak dapat buat ketika menjadi atlet,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini. 

Jun Hoong yang berasal dari Ipoh mencipta sejarah apabila muncul atlet terjun pertama negara memenangi gelaran juara dunia dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Dunia 2017 di Budapest, Hungary. 

Beliau secara rasminya mengumumkan persaraannya pada Januari 2022.

Mengulas pretasi penerjun negara ketika ini, beliau mengakui terdapat penurunan dari segi pencapaian mereka namun menyifatkan situasi itu normal.

“Saya yakin prestasi mereka ini akan kembali meningkat berbekalkan program dan latihan berterusan yang dilakukan barisan kejurulatihan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan