SUKAN > BERITA

TERBUKA CHINA: EE YI PUAS HATI GANDINGAN DENGAN YEW SIN BUAHKAN HASIL

22/09/2024 11:24 AM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Pemain beregu lelaki profesional negara Teo Ee Yi memuji gandingannya dengan Ong Yew Sin kerana mereka berjaya ke peringkat separuh akhir Terbuka China walaupun telah berehat hampir lima bulan.

Bagaimanapun, Ee Yi mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu dihalusi setelah hasrat untuk mara ke final kejohanan itu kecundang di tangan gandingan tuan rumah.

"Saya rasa kami melakukan dengan baik dalam kejohanan ini. Kami berehat lima bulan dan baru kembali, kemudian terus layak ke separuh akhir.

"Ia agak positif dan tiada apa yang perlu dikesali. Apa yang kami belajar daripada perlawanan ini akan diingati dan perlu dibaiki (sebagai persediaan ke kejohanan seterusnya)," katanya menerusi perkongsian audio oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.

Semalam, harapan peminat badminton negara untuk menyaksikan Yew Sin dan Ee Yi mara ke final Terbuka China musnah selepas pasangan itu tewas kepada gandingan pilihan kelima He Ji Ting and Ren Xiang Yu.

Pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Changzhou itu, Yew Sin dan Ee Yi berdepan cabaran getir untuk mengatasi pasangan nombor tujuh dunia berkenaan, dan tewas pada straight set, 18-21, 11-21 dalam masa hanya 43 minit.

Ji Ting-Xiang Yu akan bertemu satu lagi beregu lelaki profesional negara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada final hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan