SUKAN > BERITA

TZE JIAN-TIEN CHI KEMPUNAN RAIH GELARAN SULUNG

22/09/2024 09:52 PM

IPOH, 22 Sept (Bernama) - -  Hasrat gandingan baharu beregu lelaki negara Lim Tze Jian-Wong Tien Chi untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2024 tidak tertunai selepas tewas kepada pasangan Filipino pada perlawanan akhir di sini hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Badminton Perak di sini, gandingan baharu sejak Mac lalu itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila membenam Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille 21-14 dalam masa 12 minit pada set pertama.

Bagaimanapun, beregu negara gagal mengekalkan momentum apabila pasangan Filipino itu kembali memperkemaskan permainan sebelum menang 23-21 dan mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-16.

Selaku juara, Solomon Jr-Julius membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,000 (RM8,410) manakala Tze Jian-Tien Chi meraih AS$1,2000 (5,046).

Sementara itu, gelaran perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita menjadi milik pemain Jepun.

Ia bermula dengan ketangkasan Minoru Koga menewaskan rakan senegara Riku Hatano 21-19, 15-21, 21-11 untuk dinobatkan juara perseorangan lelaki.

Bekas remaja wanita dunia 2019, Riko Gunji terpaksa bermandi peluh sebelum bangkit mengatasi  pemain Indonesia Ruzana 19-21. 21-15, 21-11 dalam pertarungan selama 63 minit untuk bergelar juara perseorangan wanita.

Bagi kategori beregu wanita, gandingan Naru Shinoya-Nao Yamakita mengekalkan rentak kecemerlangan itu apabila menumpaskan rakan senegara, Hinata Suzuki-An Uesugi, 21-12, 12-21, 21-17 yang berlangsung selama satu jam. 

Sementara itu, gelaran juara beregu campuran menjadi milik pasangan Indonesia Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah yang menewaskan gandingan senegara Adnan Maulana- Indah Cahya Sari Jamil, 22-24, 21-11, 21-19.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$19,000 (RM79,900) itu disertai 18 negara antaranya India, Indonesia, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Sri Lanka, Australia dan New Zealand.

Juara bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai AS$2,000 (RM8,410), tempat kedua AS$1,200 (RM5046) manakala pemain yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir serta suku akhir masing-masing menerima AS$500 (RM2,103) dan AS$200 (RM841).

- -  BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan