WILAYAH - SELATAN > BERITA

GISBH: MAHKAMAH RENDAH SYARIAH BENAR JAMINAN BON TERHADAP PENGERUSI, PENGETUA MADRASAH

22/09/2024 07:41 PM

SEREMBAN, 22 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap pengerusi dan pengetua sebuah madrasah di Kuala Pilah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Hakim Syarie Nurul Akmar Mohamad Hilmi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pegawai penguat kuasa agama bahagian penguatkuasaan JHEAINS terhadap kedua-dua orang yang disyaki (OYDS), masing-masing berusia 58 dan 51 tahun, bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam (Negeri Sembilan) 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2019).

Beliau menetapkan bon jaminan RM2,000 dengan dua penjamin yang bermastautin di Negeri Sembilan bagi kedua-dua OYDS dan sebutan semula kes pada 12 Nov ini.

Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah pula berkata penahanan kedua-dua OYDS semalam adalah untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran di Kuala Pilah.

Beliau berkata JHEAINS menahan mereka selepas kedua-duanya selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.

Mohd Asri berkata ketika disoal siasat, kedua-dua individu disyaki cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiyah yang difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti negeri.

“Sehubungan itu, JHEAINS membuat permohonan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah hari ini bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dan memastikan mereka hadir pada tarikh sebutan semula kes iaitu 12 Nov akan datang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 12 Sept lepas, JHEAINS menyita dua rumah yang dijadikan madrasah di sebuah kampung di Kuala Pilah yang menempatkan 40 kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun.

Tindakan itu diambil susulan laporan salah laku berhubung perbuatan liwat terhadap penghuni pusat berkenaan dan pemeriksaan dilakukan di premis terbabit pada 6 Sept lepas.

Sebelum ini, empat pembantu pengajar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di madrasah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan