WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2025 : PROPERTYGURU HARAP KERAJAAN TUMPU PADA RUMAH MAMPU MILIK

23/09/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- PropertyGuru dan iProperty berharap Belanjawan 2025 nanti akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif perumahan yang ditujukan kepada masyarakat kurang mendapat perkhidmatan seperti segmen berpendapatan rendah hingga sederhana.

Pengurus Negara (Malaysia) untuk kedua-dua platform itu, Kenneth Soh berkata program bantuan yang disesuaikan seperti geran pemilikan rumah disasarkan serta projek perumahan kos rendah, boleh memainkan peranan transformatif dalam meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berada dalam golongan B40 dan berpendapatan sederhana rendah, di samping menggalakkan ekuiti sosial dalam pemilikan rumah.

“Selain itu, turut perlu dipertimbangkan adalah rumah sewa berpatutan bagi mereka yang belum bersedia atau mampu membeli rumah. Memperluaskan skim sewa untuk memiliki atau mewujudkan subsidi sewa kepada golongan berpendapatan rendah boleh menyediakan pilihan perumahan yang selamat di samping membantu individu dan keluarga beralih kepada pemilikan rumah pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh berkata kemampuan untuk memiliki rumah terus menjadi kebimbangan utama ramai rakyat Malaysia, terutamanya pembeli rumah kali pertama. Tambahnya, komitmen kerajaan terhadap projek rumah mampu milik melalui program seperti Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kekal penting dalam meningkatkan bekalan rumah dalam lingkungan mampu milik.

Menurut Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2024 PropertyGuru Malaysia, PR1MA menjadi pilihan utama bagi 23 peratus responden, khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dalam lingkungan 30-an.

Rumah Selangorku menjadi pilihan kepada 15 peratus responden, majoriti mereka sudah berkahwin dan mempunyai anak, manakala PPR dipilih oleh 14 peratus, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Penemuan ini menekankan keperluan untuk inisiatif perumahan yang disesuaikan dalam memenuhi keutamaan pelbagai kumpulan demografi. Kami menggesa kerajaan untuk terus bekerjasama dengan institusi kewangan bagi menawarkan pakej pinjaman fleksibel, kadar faedah yang menggalakkan dan menyemak semula dasar secara berkala agar sejajar dengan permintaan perumahan yang semakin berkembang,” katanya.

Soh turut menggesa Belanjawan 2025 merangkumkan dasar yang menggalakkan amalan bangunan hijau yang akan menguntungkan alam sekitar dan pemilik rumah.

“Insentif cukai atau rebat untuk pemaju yang menggabungkan reka bentuk serta bahan yang cekap tenaga boleh membantu mempercepatkan penggunaan amalan kelestarian dalam sektor hartanah. Bagi pemilik rumah, insentif seperti geran untuk panel solar, peralatan cekap tenaga termasuk peranti penjimatan air boleh mengurangkan perbelanjaan isi rumah sambil menggalakkan gaya hidup mampan, mesra alam,” katanya.

Selain itu, sebagai dorongan agar pemaju serta pembeli mengutamakan alam sekitar dan reka bentuk yang mesra alam, kerajaan boleh memperkenalkan program pensijilan rumah hijau bagi memberikan mereka ganjaran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan