PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

25/06/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah berikutan sesi dagangan tidak menentu, meneruskan aliran menurun yang berterusan selama enam hari berturut-turut meskipun terdapat aktiviti belian semasa harga rendah yang sederhana awal hari ini. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.98 mata kepada 1,587.68 daripada 1,589.66 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 0.05 mata  kepada 1,589.71, dan bergerak antara 1,587.37 dan 1,594.71 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 692 berbanding 330 manakala 420 kaunter tidak berubah, 976 tidak diniagakan, dan 16 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 3.12 bilion unit bernilai RM1.71 bilion.

Firma broker saham Malacca Securities Sdn Bhd berkata, walaupun aktiviti belian semasa harga rendah dijangka berlaku, keadaan pasaran secara keseluruhan masih terkesan dengan aktiviti pengambilan untung dalam saham teknologi di Amerika Syarikat iaitu Nvidia.

“Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa sentimen di pasaran tempatan akan bertambah baik, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap pusat data, kecerdasan buatan dan perkhidmatan awan, yang akhirnya boleh diterjemahkan kepada aktiviti dagangan yang positif.

"Kami juga tertarik dengan sektor solar, pembinaan dan bahan binaan, memandangkan pertambahan aktiviti pembinaan bagi pusat data, manakala industri perkapalan mungkin meraih manfaat daripada insiden Laut Merah sebelum ini," katanya dalam nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing meningkat dua sen kepada RM9.90 dan RM6.70, TNB naik 28 sen kepada RM14.0 dan IHH menokok satu sen kepada RM6.31 manakala Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.01.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang, Velesto dan Siab Holdings masing-masing naik setengah sen kepada 7.0 sen, 25.5 sen dan 13 sen, dan YGL Convergence menokok 3.5 sen kepada 22 sen manakala McClean susut setengah sen kepada 40.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 4.03 mata kepada 12,549.17 dan Indeks FBM 70 naik 13.97 mata kepada 17,730.4 manakala Indeks FBM Emas merosot 15.58 mata kepada 12,178.46, Indeks FBMT 100 berkurangan 7.71 mata kepada 11,763.91 dan Indeks FBM ACE rendah 39.71 mata kepada 5,674.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.55 mata kepada 17,378.96, Indeks Tenaga naik 3.75 mata kepada 955.89, dan Indeks Perladangan menambah 11.91 mata kepada 7,036.43 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.95 mata kepada 196.50.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan